Sudah 4 hari berlalu sejak sebahagian tempat di Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami. Aku masih mengikuti berita-berita terkini di internet, mahu menonton terutamanya video dan gambar-gambar yang diletakkan di website. Perasaan terkejut semakin kurang, cuma rasa sedih yang masih setia dalam hati. Tak dapat kubayangkan sekiranya aku dan keluarga menjadi mangsa tsunami, menyaksikan sendiri keganasan air laut memusnahkan rumah, menghanyutkan mangsa yang tak sempat menyelamatkan diri...alangkah sedihnya!!
Sebelum tidur sejak 3 malam semalam, aku terbayang, sekiranya aku kehilangan ahli keluarga kesan daripada kejadian malang yang menimpa, seperti tsunami di Jepun, bagaimanalah agaknya..:( Mengenangkan 'jika' itupun aku sudah mengalirkan air mata, apatah lagi menghadapi secara realiti. Melihat video mangsa terselamat menahan kesedihan, ibu yang positif akan anaknya akan dijumpai dalam keadaan selamat (dan kemudian menahan esak), menekan perasaan..sedih!!
Namun, aku percaya, semua ini merupakan peringatan yang nyata dari Allah. Kejadian tsunami ini, aku bayangkan Allah hanya 'menjentik' sedikit bumi, dan kemusnahannya amatlah ketara! Bayangkan bila tiba hari kemusnahan yang sebenar, bila akhirat tiba, huru-haranya bagaimanalah agaknya? Gerun aku memikirkannya..
Sambil aku menonton video ombak ganas menggulung memusnahkan rumah di Jepun, aku memanggil anak-anak menonton bersama:
"Kakak, adik, tengok ni..kesian kat Jepun, ada gempa bumi..kemudian jadi tsunami, air laut ombaknya jadi tinggi sampai habis rumah orang kat kawasan tu hancur..kesian kan...?
Kakak dan adik melihat dengan sungguh-sungguh. Tiba-tiba adik bercakap dengan nada panik dan suaranya hampir mahu menangis..
"Mak, kenapa ada gempa bumi?"
Kakak juga bertanyakan soalan yang sama. Aku sudah mula terfikir-fikir, sebab aku tahu soalan ini akan keluar dari mulut mereka.
"Mungkin Allah nak tunjukkan kemarahannya sebab manusia banyak buat dosa, tak sembahyang, tak baca Quran, tak buat baik dengan orang.."
Aku saja tekankan tentang baca Quran tu, sebab kadang-kadang bila leka sangat bermain, kakak dan adik liat sangat untuk baca Iqra'. Adik terutamanya.
"Macam mana tsunami tu jadi, mak?" Kakak sudah mula menguji mindaku, tanpa dia sedar, seperti selalu. Ilmu apa ni ye? Sains geologi kot? Aduh..nasib ada video yang menunjukkan bagaimana tsunami tu terjadi. Aku tunjukkan dan terangkan kepadanya serba sedikit. Aku rasa walaupun dia kurang faham, tapi dia nampak cuba untuk memahami.
"Tapi, kenapa orang baik pun kena jugak?Kat sana mesti ada orang baik jugak kan?" Kakak menambah.
Hmm..satu lagi soalan mencabar..macam mana nak beri jawapan supaya kakak tak anggap Allah ni kejam, sehingga menghukum orang yang tidak bersalah juga..
"Mungkin sebab tu kita kena bagi nasihat kat orang lain supaya kena buat baik, sembahyang dan sebagainya.."
Kakak terdiam. Aku harap janganlah keluar lagi soalan tentang perkara tersebut pada masa itu. Aku mahu mencari jawapan yang lebih padan untuk anak kecil berumur 6 tahun sepertinya. Nanti tak pasal-pasal aku buat dia jadi keliru, lantas lagi banyak soalan yang memeningkan!!
Membesarkan anak-anak dan melayan soalan mereka memerlukan skill yang aku belum mahir. Juga memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu, kerana mereka akan bertanya sehingga mereka puas hati. Lebih parah lagi, sekiranya aku salah memberikan jawapan, maksudnya aku telah tersalah mengajar!
Persoalan tsunami, juga kejadian alam yang pelbagai, dan bagaimana ia terjadi, boleh diterangkan menerusi ilmu sains yang kita pelajari (ataupun baru pelajari seperti aku belajar bagaimana tsunami terjadi melalui video). Tapi, tentang mengapa ia terjadi, dan jawapan untuk itu kepada anak-anak kecil, memerlukan jawapan yang bernas supaya mereka tidak keliru. Aku rasa aku perlu jadi pemikir yang kreatif dan kritis untuk menjawab semua persoalan tersebut. Sabar ye kakak dan adik, nanti mak belajar lagi, lepas tu mak dapat jawab soalan kakak dan adik dengan lebih bagus lagi..:)
No comments:
Post a Comment