Pages

Monday, December 12, 2011

Mak Lang

Aku bangun dari tidur dan terdengar deru kereta emak makin sayup. Emak telah pergi kerja. Aku menangis dan menjerit.

"Huwaaaa..makk dah pergi kerjaaaa..huhuu,"sambil tersedu sedan aku meluahkan perasaan. Mak Lang di bawah rumah bercakap dengan nada yang sedikit kuat.

"Dahla tu mak dah pi kerja dah tu.."

Aku menjenguk dari luar jendela. Mak Lang di bawah rumah sedang memasukkan baju ke dalam mesin basuh. Aku lantas diam dan mula berjalan mencari pintu. Aku mahu turun ke bawah. Suasana pagi yang nyaman dan suara Mak Lang membuatkan aku terlupa kesedihan akibat tidak sempat melihat emak pergi ke pejabat. Aku terus berlari menuruni tangga.

Itu cerita hampir 28 tahun lalu. Sewaktu aku berumur 4 tahun. Waktu itu, kami tinggal di Taman Uda, Alor Setar. Rumah-rumah di situ semuanya rumah kayu tinggi. Di situ memori aku bersama Mak Lang bermula.

Disebabkan mak bekerja, Mak Lang membantu menjaga kami adik beradik sejak kecil. Di samping mak dan ayah, Mak Lang orang yang paling dekat di hatiku sedari kecil hingga sekarang.

Setelah Mak Lang mempunyai anak, mak dan ayah telah meminta tolong orang lain untuk menjaga kami adik beradik semasa mak bekerja. Namun, kedua-duanya tidak lama bersama kami dan berhenti apabila mereka mahu berkahwin, dan kami kembali berada di bawah ketiak Mak Lang. Semasa itu kami sudah berpindah ke Jitra dan tinggal di Taman Bunga Raya. Mak Lang sekeluarga pula tinggal di Taman Rasa Sayang yang hanya bersebelahan dengan taman tempat tinggal kami. Kami ke rumah Mak Lang selepas balik dari sekolah hingga petang hari sehingga mak dan ayah pulang dari kerja. Itulah rutin kami sehingga Kak Kasmita datang sewaktu aku berumur 10 tahun dan sehingga kini masih setia bersama emak.

Mak Lang seorang yang suka melawak. Cakapnya juga bersahaja. Memori bersamanya sentiasa bermain di fikiran, bagaikan filem yang tidak jemu ditonton. Masakannya, walaupun ringkas seperti sawi masak air, ikan goreng, kari ayam dan sambal ikan bilis, mampu membuatkan kami makan bertambah. Saat yang paling seronok apabila Mak Lang mula mengeluarkan bahan-bahan membuat kuih di petang hari. Mak Lang akan membuat donut, cucur udang, jejemput pisang, kuih seri muka dan kuih keria. Kami akan makan petang sambil menonton siri cerita Jepun popular satu ketika dulu, Moero Attack. Seronok!! Apabila mak dan ayah datan menjemput kami, Mak Lang akan bekalkan kami mangkuk tingkat berisi lauk pauk untuk kami makan di malam hari.

Mak Lang pernah membebel apabila adikku menangis-nangis sebab terlupa pesanan cikgunya untuk membawa ubi kentang yang telah dibelah dua dan dibuat corak-corak untuk subjek lukisan, sebelum pergi ke sekolah. Adikku semasa itu bersekolah di sesi petang. Mak Lang bergegas ke kedai nyonya di hadapan taman untuk membeli beberapa biji ubi kentang. Lantas Mak Lang  ukirkan corak-corak bunga dan daun di atas ubi kentang yang telah dibelah. Selamat adikku dari dimarahi cikgu!

Selepas keputusan UPSR diumumkan, aku ditawarkan memasuki sebuah sekolah berasrama penuh. Pada masa itu, Mak Lang sekeluarga sudah berpindah ke perumahan kakitangan UUM di Sintok. Sebelum hari aku pergi mendaftar ke sekolah tersebut, aku beritahu mak yang aku mahu pergi ke rumah Mak Lang dahulu dan berjumpa dengannya. Memang pada masa itu aku rasa sedih mahu tinggalkan keluarga dan Mak Lang. Hilang sedikit rasa sedihku pada ketika itu dapat berjumpa dengannya.

"Faizah dulu pulak suka bercakap dengan semut!" Mak Lang mendedahkan rahsia aku bermain sewaktu kecil, sambil tersenyum-senyum, apabila aku memberitahunya adikku yang bongsu suka sangat bermain 'video game'.  Tak sangka aku suka bermain dan berkawan dengan semut. Bila sudah besar, apabila nampak semut aku 'spray' dengan 'Mortein' sampai mati.

"Nanti, bila Faizah dah bekerja dan banyak duit, boleh tak Mak Lang nak pinjam duit dari Faizah?" tanya Mak Lang, mengusik. Pada masa itu seingat aku, aku berada di sekolah menengah. Aku sambil tergelak-gelak mengatakan, "Bolehhhhhh!". Pada masa itu, dan sehingga kini, sungguh aku tidak kisah. Aku sanggup memberi tanpa meminjamkan kepada Mak Lang. Mak Lang sudah kuanggap seperti ibuku yang kedua.

"Dulu Faizah kata nak kahwin masa umur 29 tahun. Nak beli rumah dululah, kereta dulu, " Mak Lang mengusik lagi sambil gelak besar apabila aku memberitahunya aku akan berkahwin pada usia 23 tahun.
Berderai cita-citaku pada zaman remaja yang tidak kesampaian. Pada masa remaja, apalah yang aku faham tentang jodoh:)

"Orang Perlis? Haaaaa Faizah ikut cadangan Mak Lang jugak naaaa, cari orang Perlis. Baguih!!" sambil
tersenyum seronok bila mengetahui bakal suamiku merupakan orang Perlis. Sebelum itu, dia seringkali menyarankan padaku untuk mencari orang yang 'dekat-dekat' untuk dijadikan suami. Maksud Mak Lang, 'dekat-dekat' tu biarlah orang utara juga.

Paling akhir aku berjumpa dengan Mak Lang, apabila aku pulang ke Malaysia hujung tahun lepas. Pada masa itu, Mak Lang sudah mula sakit. Badannya sangat kurus, mukanya cengkung. Mak Lang minta aku belikan laksa Kuala Perlis. Malangnya, aku tak sempat ke Kuala Perlis, lalu aku belikan laksa di tempat lain. Kesian Mak Lang. Aku tahankan air mata apabila berada di rumahnya. Pada masa itu, dia masih mampu berlawak dan ketawa.

Apabila tiba hari aku mahu bertolak kembali ke Finland, Mak Lang bersusah payah datang ke rumah di Jitra bersama Pak Lang. Walaupun masih sakit dan lemah, Mak Lang tetap mahu datang, mahu menemuiku sebelum kami berpisah semula. Mak Lang kelihatan sangat lemah pada masa itu. Aku tak akan lupakan saat Mak Lang menangis hiba memelukku apabila aku mula mahu bergerak masuk ke dalam kereta. Itulah pelukan terakhir daripada Mak Lang. Itulah kali terakhir aku melihat Mak Lang, mendengar suaranya. Namun, itulah kali pertama aku melihat Mak Lang menangis sedih. Kali pertama, dan terakhir buatku.

Mak Lang telah meninggalkan dunia yang fana ini tanggal 12 Disember 2011, bersamaan 18 Muharram 1432 Hijrah. Mak Lang takkan kembali lagi. Tidak akan kedengaran lagi gelak ketawa Mak Lang. Semoga Mak Lang tenang dan damai di sana. Sehingga kita bertemu lagi di akhirat kelak.

Ya Allah, lapangkanlah kuburnya, mudahkanlah segala urusannya. Tempatkanlah Mak Lang di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Al-Fatihah buat Mak Lang.